Bersih 3.0 284

Bersih 3.0 284
#DataranMerdeka

Jumaat, 7 Mac 2008

Abdullah belum beri respon terhadap isu bahasa - Dato' Hassan Ahmad

Demi masa depan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya yang tinggi, sempena Pilihan raya ke 12 ini, Kumpulan Prihatin, menyeru agar suatu komitmen mengenai isu bahasa ini dilakukan oleh pihak kerajaan dan juga calon-calon yang menyertai pilihan raya kali ini.

Menurut Pengerusi Kumpulan Prihatin, Profesor Dato' Dr Abu Bakar Hamid seruan tersebut dibuat memandangkan sehingga kini masih tiada tindakan positif yang dapat mendaulatkan semula bahasa Melayu sebagai pengantar utama dalam sistem pendidikan hari ini.

Jelasnya, isu tersebut sudah lama dibangkitkan oleh golongan yang prihatin dengan masalah bahasa Melayu kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi. Namun masih belum terdapat reaksi positif mengenai masalah tersebut.

Katanya, para pengundi yang prihatin seharusnya mendesak calon masing-masing membuat komitmen akan menyuarakan isu ini sebelum memberikan undi kepada mereka.
"Seharusnya setiap pengundi akan mendesak calon di tempat masing-masing agar mereka yang mewakili suara rakyat ini dapat menyuarakan isu ini di Parlimen serta mendapatkan daripada pihak kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Kumpulan Prihatin di Yayasan Penataran Ilmu, dekat sini, hari ini. Turut serta dalam sidang media tersebut ialah beberapa orang ahli Prihatin. Antara yang hadir ialah Dato' Zainal Abidin Wahid, Dato' Dr Hassan Ahmad dan Dato' Bahruddin Zainal. Turut hadir Ahmad Azam Abdul Rahman serta Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM), Mohd Himi Ramli.

Kumpulan Prihatin terdiri daripada sekumpulan tokoh bahasa, ilmuan, ahli akademik, tokoh budayawan dan sasterawan, tokoh agama serta beberapa kumpulan bukan kerajaan(NGO) yang prihatin terhadap isu-isu berhubung masa depan bangsa, agama dan negara. Kumpulan ini turut membangkitkan isu-isu bahasa, budaya dan pendidikan bangsa Melayu.

Sementara itu, Abu Bakar turut menyentuh mengenai hujah kerajaan untuk melaksanakan pengajaran bahasa Melayu dalam bahasa Inggeris yang dikatakan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar.

Jelasnya, hujah tersebut sama sekali tidak berasas kerana belum pernah dibuktikan di mana-mana di dunia, mengajar dalam sains dan matematik dalam sesuatu bahasa boleh meningkatkan penguasaan bahasa tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai sistem meritokrasi yang dilaksanakan hari ini. Jelasnya , Kumpulan Prihatin mencadangkan guru-guru yang mahir dan terlatih dalam bahasa Inggeris, sains dan matematik dihantar ke sekolah-sekolah di luar bandar dan memberikan insentif kepada mereka.

Katanya, dengan cara ini, apabila sekolah-sekolah luar bandar sudah mencapai taraf kemajuan akademik yang sama denngan sekolah-sekolah di bandar, maka wajarlah pada waktu itu dilaksanakan sistem meritokrasi.

Sementara itu, Dato' Dr Hassan Ahmad melahirkan rasa tidak puas hati kerana tiga bulan yang lalu beliau menyuarakan isu mengenai bahasa ini kepada Perdana Menteri dalam satu majlis di Putrajaya.


"Perdana Menteri menyatakan akan memberi maklum balas mengenai perkara ini. Bagaimanapun sehingga sekarang saya belum menerima apa-apa maklum balas. Saya akan tuntut apa yang dijanjikannya untuk menyelesaikan isu ini,"katanya.

Dato' Baharuddin Zainal pula menyatakan, beliau menerima maklum balas mengenai isu bahasa yang diutarakannya melalui emel yang dihantarnya kepada Perdana Menteri semalam.
Emel yang dihantar melalui www.warkahuntukpm.com itu mendapat maklum balas daripada pihak Perdana Menteri dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Bagaimanapun katanya, jawapan yang diterima seperti yang telah dijangkakan iaitu isu tersebut akan diperhalusi dan pejabat Perdana Menteri akan menghubungi beliau mengenai masalah tersebut.

"Kita telah menjangkakan itu jawapan yang diterima. Jadi, surat balasan ini akan dijadikan bukti untuk kita ungkit pada masa akan datang sekiranya masalah bahasa ini masih tidak dapat diselesaikan,"katanya.-

Tiada ulasan:

Nuffnang