Bersih 3.0 284

Bersih 3.0 284
#DataranMerdeka

Jumaat, 7 Mac 2008

Bukan Kelantan perlu dirawat, tetapi Abdullah


Setelah menyaksikan kuasa pemerintahan di Pakistan pimpinan Presiden Pervez Musarraf berubah angin yang memihak kepada perikatan pembangkang, gelombang serupa juga dilihat bertiup di Amerika Syarikat (AS).

Di AS menyaksikan satu sejarah baru bakal tercatat. Kemenangan mana-mana calon Demokrat, sama ada Hillary Rodham Clinton atau Barack Obama akan mencatatkan sejarah wanita pertama dan rakyat kulit hitam pertama mempunyai prospek memimpin negara Uncle Sam itu.
Perubahan ini juga dilihat mempunyai kesan yang besar kepada PRU ke-12 ini. Melihat kepada lintang pukang dan porak peranda kempen BN dan gabungan parti-parti di dalamnya sekarang telah memberi isyarat yang besar kepada pemerhati dan penganalisis politik bahawa BN sedang berada dalam keadaan amat tenat. Dan besar kemungkinan sejarah baru politik di negara ini juga akan turut tercatat.

Prinsip yang menjadi kayu ukur mudah untuk menguji ketenatan ini amat mudah. Orang yang kuat hanya akan mengangkat bebanan dengan menggunakan sebelah tangan sahaja. Tetapi apabila terpaksa menggunakan kedua-belah tangan serta di sokong dengan kaki, bahu, belakang dan meminta orang lain pula membantu, sudah tentu disebut sebagai orang yang tidak kuat @ (alias) lemah.
Orang yang lemah ibarat orang yang hampir kelemasan. Kelemahan ini pula mungkin berpunca daripada tenaga yang berkurangan atau tidak pandai berenang. Apabila hampir kelemasan, ia akan mencapai apa sahaja yang ada di sekelilingnya bagi menyelamatkan nyawanya tanpa mengira apa pun.

Inilah yang berlaku pada BN yang akan menghadapi PRU ke-12 ini. Berdasarkan kepada cara kempen yang terpaksa menggunakan pelbagai saluran sama ada halal, makruh atau haram, semua di belasahnya. Ketika era Mahathirisme atau era Tun Hussein Onn maupun Tun Razak kempen pangkah BN atau Perikatan yang mewakili kerajaan ketika itu tidak pernah menggunakan televisyen atau radio yang secara terus dan terbuka berkempen memangkah parti pemerintah.

Kalau ada pun mungkin hanya sekadar propaganda yang bercorak rencana atau berita yang berpaksi kepada memberi sokongan kepada kerajaan berdasarkan apa yang telah disumbang kepada rakyat.

Kita tidak menafikan radio dan TV merupakan saluran yang paling berkesan untuk mempengaruhi pengundi dan tidak salah BN menggunakan saluran tersebut untuk maksud berkempen. Tetapi dengan syarat ia perlu memberi keadilan kepada parti-parti lain peluang sebagaimana diberikan kepada BN.

Apakah ini hakikatnya keadilan atau kesejahteraan rakyat yang menjadi salah satu dari manifesto BN dalam PRU ke-12 ini?

Di negara maju seperti di AS setiap hari rakyat di negara tersebut berpeluang melihat dan mendengar calon-calon yang bertanding berkempen dan berdebat dengan lawan masing-masing. Dengan cara tersebut rakyat diberi peluang untuk memilih calon yang terbaik untuk memimpin mereka.

Umno-BN perkuda media

Melihat kepada kempen BN yang bukan sahaja memperkudakan media milik rakyat, poster, banner dan billboard yang dipasang serta peralatan dan cendera hati yang disediakan untuk setiap calon BN menampakkan bukanlah sedikit wang yang digunakan. Wang-wang tersebut adalah wang rakyat bukannya wang kerajaan.
Andainya SPR benar-benar menjalankan fungsinya untuk memeriksa akaun perbelanjaan yang hanya di peruntukkan RM 300,000 untuk calon Dun dan RM500,000 bagi calon Parlimen tentulah ramai calon pembangkang akan menang. Ini pun kalau SPR mensyaratkan sekiranya digunakan lebih daripada had tersebut akan dikira tidak layak menang atau dibatalkan kemenangan.
Persoalannya mengapa BN terpaksa beraksi sehingga menampakkan sebegitu tenat. Undang-undang SPR adalah undang-undang yang dinukil oleh BN sendiri kerana memang pun SPR itu badan yang terpaksa tunduk kepada kerajaan. Undang-undang yang dicipta dan merekalah yang mencabulinya. Lantaran itulah pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang sepatutnya tamat tempoh perkhidmatannya beberapa bulan lalu disambung perkhidmatannya.

Ini melihat kepada sepanjang tempoh perkhidmatan Abdul Rashid sejak 1975 Umno dan BN mencapai kemenangan dalam setiap PRU. Walhal pelbagai pihak termasuk parti-parti politik dan NGO telah membuat pelbagai bantahan serta mendesak kerajaan menyingkirkan Abdul Rashid.

Kejayaan pertama Abdul Rashid telah dibuktikannya di hari penamaan calon lalu. Kemudian dalam kes pembatalan dakwat penanda. Media arus perdana sendiri melaporkan bagaimana SPR boleh mengisytiharkan Rafidah Aziz bertanding di Kuala Kangsar tanpa menandatangani borang pencalonan ketika hari penamaan calun 24 Februari lalu. Ini baru di peringkat pertama. Bagaimana pula kelicikan Abdul Rashid yang akan dibuktikan lagi ketika hari mengundi atau di hari pengiraan undi. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Tapi sayangnya segala kelemasan dan ketenatan yang ada pada BN dan jentera kautnya hanya dapat dikesan dan disedari pleh pengundi yang tinggal di bandar (urban voters). Taraf pendidikan golongan pertengahan dan tinggi serta mendapat saluran maklumat yang lebih terbuka mendedahkan penghuni bandar membongkar dan mengesan kebajingan junta BN dari segenap pelosok. Ini antara bukti yang memperlihatkan kebanyakan kawasan bandar dikuasai pembangkang.

Ketenatan ini secara keseluruhannya bersumber kepada kepimpinan BN yang dicongak sebagai paling lemah dan tidak berkarisma berbanding pimpinan tertinggi BN terdahulu. Kelemahan Abdullah Ahmad Badawi dapat di rungkai dalam pelbagai aspek.

Abdullah kini nazak

Dalam kontek komunikasi, Abdullah dilihat sebagai seorang yang tidak punya kuasa penarik ketika berpidato. Jawapan yang diberikan ketika ditanya wartawan atau membuat ucapan rasmi lebih bersifat retorik dan kenyataan umum yang bermaksud semua orang dah sedia maklum. Kadang kala dilihat Abdullah tenggelam punca untuk menjawab tetapi di sebabkan sebagai PM dan terpaksa mengeluarkan kenyataan maka akhirnya jawapannya seolah-olah main bantai sahaja.

Ketidakpetahan berpidato dan ketidakmampuan mengeluarkan hujah membina di kalangan pemimpin masyarakat dan apatah lagi pemimpin tertinggi negara akan memberi kesan yang besar pada negara dan rakyat.

Kelemahan inilah yang meletakkan Abdullah berhadapan dengan pelbagai masalah yang tidak dapat di selesaikan. Akhirnya masalah tersebut bertambah menimbun dan menenggelamkan diri beliau sendiri. Manakala rakyat pula terpaksa berhadapan dengan bebanan kos sara hidup yang semakin memuncak, kenaikan harga barangan, peningkatan gejala sosial, isu perkauman, politik yang tak stabil, hilang keyakinan pelabur dan pelbagai lagi.

Bagi rakyat di luar bandar pula mereka tak ambil 'pot' (kisah) pun dengan angka-angka yang memperlihatkan nilai-nilai peratus itu dan peratus ini. Bagi mereka itu semua tidak ada kaitan dengan dunia mereka. Tetapi apabila harga petrol naik, harga barang keperluan harian naik dan RM10 hanya dapat membeli satu dua barang sahaja, ini amat mengganggu ketenteraman dan periuk nasi mereka.

Rakyat juga sedar kerajaan tak berduit apatah lagi dengan PRU yang akan berlangsung. Wang rakyat akan habis mengalir untuk memastikan kemenangan BN. Rakyat juga tidak dapat d tipu dengan koridor itu, koridor ini yang akan digerakkan dengan RM yang ratus bilion jumlahnya. Mana nak korek duit sebanyak itu. Tapi untuk tujuan PRU, koridor-koridor tersebut diasaskan di atas tapak biar papa asal bergaya.

Namun apa yang pasti, untuk mengaut segala wang yang telah mengalir untuk memastikan BN menang dalam PRU ke-12 maka sudah pastilah harga barang terutamanya petrol akan dikurangkan subsidinya. Ini bermaksud apabila subsidi di kurangkan maka harga petrol akan naik. Sejarah Malaysia telah membuktikan berbelas kali bahawa apabila petrol naik maka ia akan di susuli dengan kenaikan harga barangan keperluan lain.

Inilah kelebihan dan kepintaran Abdullah dalam memerangkap orang-orang kampung dan masyarakat luar bandar sehingga kebanyakan mereka dapat di igaukan dengan lamunan kesejahteraan dan kegemilangan hadhari ciptaan beliau.

Abdullah juga sedar bahawa bahang kegelisahan rakyat terhadap kepimpinan beliau semakin memuncak. Isu Hindraf, kehakiman, amalan nepotisme, tiada sagu hati kepada kakitangan kerajaan, kemorosotan ekonomi dan pelbagai lagi menjadi barah yang semakin bernanah di hati rakyat.

Tiada ulasan:

Nuffnang