Bersih 3.0 284

Bersih 3.0 284
#DataranMerdeka

Sabtu, 22 Mac 2008

Giliran PAS menerajui ummah



Agenda penyatuan Melayu Islam tiba-tiba menjadi topik hangat sejurus suara rakyat diterjemahkan melalui peti undi pada PRU ke 12 baru-baru ini. Beberapa pihak khasnya yang cenderung dan kuat menyokong Umno sebelum PRU lalu tiba-tiba terpanggil untuk memperjuangkan isu ini setelah ia lama terpendam dan dimatikan.

Mengapa baru kini ianya dibangkitkan?

Bagi mereka yang mudah emosional sehingga mengenepikan rasional, isu agenda penyatuan Melayu Islam menjadi kononnya mendesak kerana keputusan PRU ke 12 menunjukkan Pulau Pinang telah jatuh ketangan orang bukan Melayu, keadaannya juga cemas di Perak dan Selangor. Suara bukan Melayu semakin besar di Parlimen dan di Dewan-dewan Negeri. Kuasa politik Melayu semakin rapuh dan mengecil.

Maka kononnya atas alasan itu juga semua pihak yang ada unsur dan kepentingan Melayu sepatutnya bersatu dan menyatukan kuasa politik Melayu Islam dalam satu gagasan bagi menangani kemerosotan kuasa politik Melayu Islam itu.

Anehnya formula penyatuan itu berharap dan bertenggek di atas Umno, Umno lah nanti yang akan menerajui gagasan ini demi perpaduan dan kesatuan umat Melayu Islam yang konon-konnya semakin terhakis dan mahu pupus itu. Sedangkan realitinya yang terhakis dan semakin pupus itu bukannya kuasa politik Melayu Islam tetapi sesungguhnya kuasa politik Umno dan BN.

Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dipetik oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebagai berkata bahawa Umno sebenarnya telah hilang kredibilitinya untuk bercakap berkenaan Melayu dan Islam kerana mereka sesungguhnya selama ini telah mencemarkan imej Melayu dan Islam.

Semua pihak perlu akui bahawa kebangkitan rakyat pada PRU ke 12 lalu adalah berpunca pada ketidakpuasan hati mereka terhadap pentadbiran dan gaya kepimpinan Umno dan BN. Ringkasnya rakyat termasuk orang Melayu Islam telah menolak Umno BN khasnya di lima buah negeri dan dibeberapa kerusi di negeri-negeri yang lain.

Baru-baru ini saya berkesempatan hadir dalam satu majlis yang bertujuan membicarakan isu ini. Beberapa individu dan pimpinan NGO Melayu Islam termasuk yang cenderung kepada Umno telah mengunjungi Presiden PAS untuk membincangkan isu agenda penyatuan Melayu Islam. Di dalam majlis tersebut Presiden PAS telah menjelaskan bahawa PAS tidak pernah mengenepikan atau menutup pintu rundingan bagi penyatuan Melayu Islam. Masalahnya selama ini hanya PAS yang ikhlas dan jujur manakala pihak lain khasnya Umno semata-mata mementingkan survival dan kedudukan politik mereka.

Buktinya hanya kini setelah Umno hilang hampir 27% kerusinya di Parlimen, gagal menggugat Kelantan dan tersungkur jatuh di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor barulah pihak-pihak berkepentingan mahu mengusulkan isu ini sedangkan sebelumnya PAS tidak pernah dipedulikan malah dimusuhi dan ditentang habis-habisan.

Bagaimana Umno boleh prihatin dan cemberu pada isu perpaduan Melayu Islam sedangkan Umnolah juga yang menyerang kerajaan Melayu Islam PAS di Kelantan dan sebelumnya di Terengganu. Kerajaan PAS didiskriminasi dan dianak tiri seolah-olah pimpinannya musuh dan bukan sebangsa dan seagama seperti mereka. PAS dipandang serong, ulamak dan cerdik pandai PAS menjadi seolah warga kelas kedua. Masjid, surau dan madrasah ditutup buat pimpinan PAS yang layak dan berwibawa. Selain itu kakitangan kerajaan yang menyokong PAS diambil tindakan, ditukarkan, disekat kenaikan pangkatnya. Kontraktor dan pembekal PAS disenarai hitamkan, biasiswa dan pinjaman tidak diperuntukkan untuk anak-anak dan keluarga PAS.

Tiba-tiba hari ini pihak-pihak tertentu mahu mengajak PAS memikirkan agenda penyatuan Melayu Islam!

Sekarang ini rakyat telah bersuara. Umno sudah duduk dikerusi belakang. Sekarang ini adalah giliran PAS dan parti-parti rakannya yang lain. Berilah peluang dan kesempatan untuk PAS dan rakan-rakannya membuktikan kebolehan dan keupayaan mereka setelah Umno dan Bn gagal lebih 50 tahun.

Agenda penyatuan Melayu Islam penting demi survival ummah, tetapi ianya kini digelanggang PAS. PAS lah yang akan menerajui dan memimpinnya. Marilah jika kita benar-benar prihatin dan mengambil berat, sama-sama kita bekerja melalui PAS untuk memungkinkan orang-orang Melayu Islam dan seluruh rakyat Malaysia terpelihara dan selamat.

Tiada ulasan:

Nuffnang