Bersih 3.0 284

Bersih 3.0 284
#DataranMerdeka

Jumaat, 7 Mac 2008

Harga minyak dijangka naik bulan ini

Bersedia hadapi kenaikan harga minyak dan segala beban yang diakibatkannya jika Barisan Nasional (BN) menang lagi, Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar memberi ingatan kepada rakyat.

Ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, calon PAS bagi kerusi Parlimen Pokok Sena itu berkata, harga pelbagai barang lain juga akan menjulang naik apabila harga minyak dinaikkan oleh kerajaan BN selepas pilihan raya ini.

"Besar kemungkinan harga minyak akan dinaikkan bulan ini juga kerana terdapat kenyataan bahawa kira-kira 4,000 pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau harga barangan mulai 1 April ini.

"Kita semua tahu bahawa apabila harga minyak dinaikkan, harga hampir semua barangan lain termasuk barang makanan akan turut naik. Sebab itulah pegawai-pegawai itu akan dikerah memantau harga barang untuk menunjukkan kepada rakyat kononnya kerajaan BN melindungi kepentingan rakyat," kata Mahfuz.


Bernama melaporkan Perdana Menteri mendakwa, kerajaan akan memastikan bahawa sekiranya ada keperluan untuk menaikkan harga minyak, ia tidak akan membebankan rakyat.

Dalam berita bertajuk "Kerajaan akan pastikan kenaikan harga minyak tidak bebankan rakyat" itu, Perdana Menteri juga mengungkit, walaupun harga minyak di pasaran dunia pada tahun ini telah mencecah paras tertinggi iaitu lebih US$103 setong, kerajaan tidak menaikkan harganya sejak tahun lepas.

"Apabila Perdana Menteri mengungkit-ungkit seperti itu, ia memberikan isyarat yang sangat jelas bahawa harga minyak akan dinaikkan," Mahfuz memperingatkan.

Sebelum ini, tindakan kerajaan menaikkan harga minyak pada 28 Februari 2006 menyebabkan kenaikan harga barang bertambah buruk.

Tindakan itu berpunca dari sifat kedekut untuk membelanjakan subsidi minyak RM4.4 bilion setahun demi kepentingan rakyat.

Pada masa yang sama, kerajaan begitu bermurah hati membelanjakan RM 6.7 bilion setahun untuk memberikan subsidi gas kepada kapitalis-kapitalis kaya raya yang memiliki Independent Power Producers (IPP). Menambahkan lagi pembaziran wang rakyat, tenaga elektrik yang dijanakan oleh IPP hampir tidak digunakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sebaik sahaja harga minyak dinaikkan, kadar inflasi melambung hingga 4.8 peratus di dalam bulan Mac 2006, yang paling tinggi dalam enam tahun. Pakar ekonomi di Affin Securities, Suhaimi Ilias pada waktu itu berkata, kenaikan harga minyak dan tarif elektrik memburukkan lagi inflasi.

Tiada ulasan:

Nuffnang