Bersih 3.0 284

Bersih 3.0 284
#DataranMerdeka

Jumaat, 7 Mac 2008

Keputusan PRU Ke-12 Pasti Memeranjatkan

LOJIKNYA, majoriti pemilih Malaysia seramai 10.92 juta sudah pun membuat keputusan mengenai tindakan mereka pada hari Sabtu, 8 Mac ini.Saya rasa mereka boleh dibahagikan kepada kategori berikut:
1. Yang sudah membuat keputusan tidak akan keluar mengundi;
2. Yang akan mengundi Barisan Nasional;
3. Yang akan mengundi pembangkang;
4. Yang akan membahagikan undi antara BN dan Pembangkang di nama pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri diadakan; dan
5. Yang akan merosakkan undi sebagai tanda protes.
Tidak memeranjatkan sekiranya bilangan pemilih yang tidak keluar mengundi tinggi kali ini. Pada PRU lalu, purata pemilih yang keluar mengundi adalah 73.9 peratus bagi Parlimen dan 74.99 peratus bagi DUN – antara peratusan tertinggi dalam sejarah PRU.Peratus yang keluar mengundi lebih tinggi di negeri-negeri yang persaingan antara BN dan pembangkang sengit seperti Terengganu, Perlis, Kedah dan Kelantan.
Besar kemungkinan mereka yang akan memulaukan PRU kali ini terdiri daripada pengundi atas pagar yang dalam PRU lalu memilih BN dan ahli Umno yang tidak puas hati dengan kepemimpinan parti atau dengan calon.Sekiranya andaian ini menjadi kenyataan pada 8 Mac nanti, BN amnya dan Umno khasnya mungkin menghadapi keadaan yang membimbangkan di negeri-negeri di mana saingan dengan Pas adalah sengit dan kemenangannya pada PRU 2004 tipis.Kategori kedua dan ketiga terdiri daripada ahli setia parti yang tetap akan mengundi parti mereka walaupun tidak puas hati.
Fenomena ini meluas di kalangan ahli Pas dan ahli Umno di luar bandar.Percubaan mengubah pendirian mereka adalah sukar kerana mereka percaya sepenuhnya kepada apa ucapkan oleh pembesar parti mereka sama ada secara langsung atau melalui laporan media massa.Ahli Umno dalam kategori ini percaya sepenuhnya kepada laporan media arus perdana manakala ahli Pas percaya kepada Harakah dan saluran maklumat berasaskan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) yang kini luas digunakan oleh parti itu.
Didesak keadaan, Pas dan parti-parti pembangkang adalah lebih canggih dan maju daripada BN di dalam penggunaan pelantar ICT seperti laman-laman berita Internet, Web TV, blog dan sistem pesanan ringkas (SMS) untuk berkempen.Amalan membahagi-bahagian undi antara BN dan pembangkang bukan perkara baru. Ia berlaku agak berleluasa di kalangan pengundi bandar dan pengundi-pengundi negeri maju.
Pilihan mereka banyak dipengaruhi oleh mutu calon yang dikemukakan.Kaedah ini paling ketara di Pulau Pinang di mana pemilih memberi undi kepada pembangkang untuk kerusi Parlimen dan kepada BN bagi kerusi DUN.Amalan ini meluas di kalangan pemilih Cina yang mahu memastikan BN menang supaya dengan itu terus mengekalkan seorang calon Cina sebagai Ketua Menteri tetapi pada masa yang sama sentimen mereka terhadap pembangkang tetap kuat.Aliran ini juga telah mula kelihatan di kawasan-kawan bandar di negeri-negeri yang lebih maju di mana pemilih tidak bergantung sangat kepada pemberian BN dan pada masa yang sama terdedah kepada saluran maklumat yang lebih luas dan bebas.
Kategori yang terakhir adalah mereka yang berasa mereka perlu keluar mengundi tetapi sengaja merosakkan undi mereka sebagai tanda protes.Teori undi protes dalam bentuk undi rosak (undi ditolak) ini tidak boleh diketepikan begitu saja kerana alirannya jelas.
Ambil contoh kerusi Parlimen Pendang dan Sik di Kedah pada PRU 2004.Di Pendang, daripada 49,193 kertas undi yang dikeluarkan, hanya 383 ditolak. Tetapi di Sik, daripada 31,682 kertas undi yang dikeluarkan, 1,287 diisytiharkan rosak. Di Pendang Pas menang dan di Sik BN menang, kedua-duanya dengan majoriti yang sangat tipis.
Teori undi protes ini lebih berwibawa jika kita melihat pengundian di kawasan bandar di mana kemungkinan undi menjadi rosak secara tidak sengaja adalah kecil.Di Bukit Mertajam misalnya, daripada 45,442 kertas undi yang dikeluarkan, 1,148 rosak manakala di Taiping daripada 44,821 kertas undi, 1,337 rosak.
Tindak tanduk pengundi atas pagar dan ketidakpuasan hati ahli parti dengan kepemimpinan dan calon serta jentera pilihan raya yang compang-camping akan mempengaruhi keputusan pengundian.
Manakala setiap parti dan calon mempamerkan keyakinan yang tinggi melangit, hakikatnya banyak yang bimbang, takut-takut PRU kali ini menghasilkan keputusan yang memeranjatkan seperti:
1. BN kehilangan majoriti dua-pertiga di Parlimen. Walaupun ini mungkin tidak menjadi kenyataan, ramalan rambang ialah Pembangkang mungkin memenangi sehingga 50 kerusi;
2. Pas kehilangan Kelantan dan gagal menawan semula Terengganu atau BN gagal sekali lagi menakluki Kelantan tetapi kehilangan Terengganu;
3. Pembangkang membelasah BN di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang; dan
4. Kekalahan calon-calon sensasi dan berprofil tinggi seperti berlaku pada PRU 1969 dan 1999.Selamat mengundi buat semua.

Tiada ulasan:

Nuffnang