Bersih 3.0 284

Bersih 3.0 284
#DataranMerdeka

Jumaat, 7 Mac 2008

Mahfuz sedia ke mahkamah jelas isu tesis sarjana Rahman Ibrahim

"Saya bersedia ke mahkamah dan UUM mesti bersedia untuk mendengar pengakuan siapa yang tulis (tesis) dan berapa dia dibayar," demikian tegas calon PAS kawasan Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar berhubung surat Universiti Utara Malaysia (UUM)yang mahu menyaman beliau dan Harakah dengan tuntutan sebanyak RM100 juta.

Tuntutan itu dimaklumkan kepada media melalui Pejabat Pendaftar UUM ekoran kenyataan Mahfuz yang disiarkan Harakahdaily yang mendakwa calon BN yang menentangnya, Dato' Paduka Abdul Rahman Ibrahim menipu universiti berkenaan kerana dikatakan mengupah pihak lain untuk menyiapkan tesis sarjana dalam bidang sains politik.

"Saya nyatakan bahawa Rahman menipu UUM dalam usaha mendapatkan ijazah sarjana melalui tesis bertajuk 'Politik Kepuakan Dalam Politik Kedah'. Saya tidak menuduh UUM menipu, tetapi meminta mereka menyiasat hal berkenaan kerana telah ditipu oleh calon BN tersebut.

"Saya ada bukti bahawa dia ada mengupah seseorang untuk tulis tesis, sedangkan mengikut syarat, tesis mestilah ditulis sendiri, kalau orang lain buat kajian itu tak mengapa, syarat kena tulis sendiri, saya ada bukti, berapa dia upah pun saya tahu," sambung Mahfuz.

"UUM mesti siasat, kalau dakwaan saya betul, pengiktirafan itu mesti ditarik balik. Saya bersedia untuk memberi kerjasama kepada UUM, sila panggil saya untuk kemukakan bukti, tetapi kenapa pula UUM mahu bertindak menyaman saya dan Harakah, saya tak tuduh UUM berbohong, saya tuduh Rahman, sila siasat dia," ujar beliau.

Jelasnya, dalam isu ini beliau tidak berasa pelik jika Abdul Rahman yang juga bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menyamannya atas tuduhan itu. Sebaliknya Rahman hanya mengambil sikap mendiamkan diri hingga hari ini.

"Saya mengajak Rahman berfikir dengan minda kelas pertama. Ayuh bersihkan nama anda, kita berdepan secara 'gentlemen' di depan ribuan pengundi di Parlimen Pokok Sena, kita duduk di atas satu pentas," tambah Mahfuz. Menjawab pertanyaan wartawan, Ketua Penerangan PAS Pusat itu berkata, sehingga jam 11.30 malam, 6 Mac, Rahman belum membuat sebarang penafian mengenai dakwaannya itu.

Mahfuz memaklumkan beliau telah melantik AJK PAS Pusat, Hanipa Maidin untuk bertindak sebagai peguamnya serta telah mendapatkan persetujuan beberapa peguam terkemuka untuk mewakili beliau dalam proses perbicaraan nanti.

"Esok (7 Mac) saya akan menghantar surat rasmi kepada Rahman bertanyakan mengapa dia tidak menyaman saya atas dakwaan ini. Rahman sendiri mesti kenal orang yang tulis tesis untuknya," tegas beliau lagi.

Sementara itu dalam satu perkembangan lain, Mahfuz memberitahu bahawa calon BN kawasan Dun Bukit Pinang, Che Omar Saad yang sebelum ini dipecat keanggotaan dari Koperasi Guru-guru Melayu Kedah, turut dipecat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Guru-Guru Melayu Malaysia Barat.

"Pemecatan juga adalah berhubung isu salahguna kuasa dan pecah amanah seperti yang saya laporkan sebelum ini yang telah dibuat laporan polis melibatkan Che Omar sebagai Setiausaha Koperasi Guru-guru Melayu Kedah.

"Che Omar sebut merata tempat dia nak saman saya sebanyak RM8 juta lepas pilihanraya ini, saya juga akan saman dia sebanyak RM16 juta selepas dia menyaman saya nanti," kata Mahfuz

Tiada ulasan:

Nuffnang