Bersih 3.0 284

Bersih 3.0 284
#DataranMerdeka

Sabtu, 15 Mac 2008

MB Terengganu: Rosol pilihan PM?


Selain drama pelantikan menteri besar Perlis, BN berdepan dengan satu lagi suasana tidak pasti tentang calon jawatan itu di Terengganu apabila Datuk Seri Idris Jusoh belum mengangkat sumpah hingga ke hari ini. Majlis angkat sumpah Menteri Besar yang dijadual di Istana Maziah awal minggu ini tiba-tiba ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan.

Satu sumber memberitahu Malaysiakini hari ini, setiausaha perhubungan Umno negeri Datuk Rosol Wahid kemungkinan besar dicalonkan untuk jawatan tersebut.



Isyarat tentang itu, kata sumber itu lagi, sudah diketahui sewaktu senarai nama calon BN Terengganu diserahkan kepada Perdana Menteri menjelang 24 Februari lalu.

Rosol, wakil rakyat Ajil, menang buat kali ketiga berturut-turut dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Sebelum kerajaan negeri dibubarkan, beliau memegang jawatan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan.

Sepanjang kempen pilihanraya umum lepas, tambah sumber itu yang turut terlibat dalam jentera BN, beberapa pihak di Terengganu sudah menduga Idris tidak akan dilantik semula untuk penggal kedua.

Idris memegang jawatan tersebut selepas BN menang besar dengan merampas negeri itu daripada PAS dalam kempen 'gelombang biru'.

Sumber itu berkata, isu pengganti Idris "sangat sensitif" dan Rosol sendiri enggan berkata apa-apa.

Keadaan tidak menentu di Kuala Terengganu sekarang membuka pelbagai spekulasi, antaranya pihak istana dikatakan tidak memberi perkenan Idris sebagai menteri besar.

Pihak istana hari ini bagaimanapun dilaporkan menafikan pembabitannya dalam kemelut calon MB negeri itu.

Sewaktu dihubungi Malaysiakini semalam, Rosol enggan mengulas sebarang persoalan tentang isu tersebut. Beliau juga enggan mengulas calon-calon yang mungkin dilantik kepada jawatan itu.

Selain Rosol, nama wakil rakyat yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan itu ialah Datuk Mohamed Awang Tera (Chukai) dan Datuk Ahmad Said (Kijal).

Ahmad pula bekas pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Mohamed, bekas pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Pelancongan, memberitahu Malaysiakini semalam bahawa beliau tidak tahu-menahu tentang calon MB dan menegaskan Umno negeri berada di belakang Idris untuk jawatan itu.

Akhbar Harian Metro hari ini menamakan Alias Abdullah (Alor Limbat), yang berjaya menewaskan pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali pada Sabtu lalu, sebagai calon untuk jawatan kosong itu.

Asasnya, laporan itu dipetik, Alias mempunyai pendidikan agama sejak sekolah menengah dan seorang lulusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Malaysia.

Seperti Rosol, Alias dikatakan enggan membelakangkan Idris.

Din Adam (Bukit Besi), pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, turut disebut-sebut.

Idris sebelum ini berkata pelantikannya dan calon-calon lain terserah pada budi bicara istana.

Akibat menggugurkan beberapa exco negeri dan ketua bahagian dalam pilihanraya umum lalu, Idris dibantah secara terbuka oleh ahli Umno.

Perdana Menteri dan timbalannya mengakui bahawa kempen BN Terengganu menemui jalan sukar pada awalnya, namun parti berjaya mengekalkan 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PAS berjaya mengambil kembali empat kerusi tambahan - Bukit Tunggal, Ladang, Bukit Payung dan Sura selain mengekalkan kerusi-kerusi di kubu kuatnya pada 2004.

Idris juga berdepan dengan beberapa projek kontroversi yang menjadi perbualan penduduk dan bahan kempen pembangkang, antaranya masjid kristal dan Piala Monson.

Tiada ulasan:

Nuffnang