Bersih 3.0 284

Bersih 3.0 284
#DataranMerdeka

Khamis, 6 Mac 2008

SPR bergelumang dengan 'pesta bohong' - Mohamad Sabu

Pembohongan demi pembohongan yang dilakukan SPR terhadap rakyat menjadikan badan tersebut kini seolah-olah sedang bergelumang dengan 'pesta berbohong'.

Bermula dua hari sebelum penamaan calon pada 21 Febuari, SPR mengeluarkan arahan kepada calon yang bertanding supaya membayar duti setem bagi borang 5A.

Pada hari penamaan calon lima calon BN di Parlimen Marang tidak melaksanakan arahan SPR itu lantas SPR mengeluarkan surat bahawa arahan mematikan setem itu dibatalkan.

Begitu juga bantahan yang dilakukan oleh Calon PAS Titiwangsa Dr Lo'Lo' Ghazali terhadap lawannya yang tidak mematikan setem ditolak oleh Pengurus Pegawai SPR.

Tindakan 'ad-hoc' SPR itu telah menimbulkan kemarahan calon PAS kerana hampir kesemua calon PAS berjaya mengikut arahan SPR itu biarpun terpaksa berkejar-kejar kerana pada hari itu kebanyakkan negeri cuti.

Ekoran tindakan SPR itu, beberapa calon PAS ke SPR di Putrajaya pada 25 Feb untuk bertemu pengerusinya tetapi beliau enggan berjumpa dan menghantar pegawai biasa kepada mereka. Akhirnya calon PAS bertindak mengoyak memo bantahan SPR di depan lobi.

Jika arahan itu tidak dibatalkan bermakna PAS sudah banyak menguasi kerusi Dun dan Parlimen dengan menang tanpa bertanding.

Terkini, SPR sekali lagi berbohong apabila empat hari sebelum hari mengundi pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengumumkan bahawa penggunaan dakwat kekal kepada setiap pengundi dibatalkan kerana sebab-sebab keselamatan.

Naib Presiden PAS Mohamad Sabu dalam sidang media harian di Pejabat Agung PAS berkata, tindakan SPR itu memperlihatkan pembohongan kedua SPR untuk menutup pembohongan yang pertama dan pembohongan ketiga untuk menutup pembohongan kedua dan akhirnya ia sudah menjadi pesta berbohong.

"Ini yang kita lihat, pentadbiran yang kelam-kabut bagi menyelamatkan calon-calon BN," kata Mohamad Sabu.

Katanya, SPR bukan satu badan 'ad hoc' tetapi ia satu badan ditubuhkan di bawah Yang DiPertuan Agong yang mana ianya kekal tidak boleh berubah melainkan dibawa kepada parlimen.

Sebelum itu, SPR dilihat seolah-olah merancang langkah ini secara terperinci termasuklah mendapat padangan mufti dan jenis dakwat sama ada ia halal atau haram di sudut Islam.

"Begitu juga, perkara ini diumumkan Abdullah Badawi berkali-kali, tiba-tiba diumumkan dua hari lalu pembatalan dakwat kemudian alasan yang diberi kita lihat, langusung tidak masuk akal," katanya.

Tegasnya, apa yang dicanangkan oleh SPR seperti ada sesuatu perkara yang hendak disembunyikan.

"SPR yang perlu memberikan penjelasan dan saya rasa PM pun nak tahu daripada SPR apa yang sebenarnya berlaku," katanya.

Jelasnnya, di awal persetujuan SPR untuk melaksanakan dakwat kekal bagi PAS ianya masih kabur kerana Seksyen 19 dalam Undang-undang Pilihan Raya 2004 belum dipinda.

Katanya, BN kelihatan cemas di saat-saat menghadapi pilihan raya terutama di Selangor, Kedah, Perlis dan Terengganu yang dilihat peluang agak tipis untuk ditakluki oleh BN.

"Pembatalan dakwat kekal itu adalah cara terakhir untuk menyelamatkan BN dengan menimbulkan kekeliruan supaya pengundi hantu, mengundi dua kali, orang mati mengundi dapat dilaksanakan," katanya.

Justeru, PAS mengutuk tindakan SPR yang menambahkan kekeliruan kepada rakyat dan dibimbangi kestabilan dan keharmonian yang dibina rakyat akan tercemar.

"Rasanya tidak terlewat untuk meredakan kekeliruan ini, Tan Sri Rashid eloklah meletakkan jawatannya," kata beliau.

Dalam pada itu, Setiausaha Pemuda PAS, Mohd Sabkhi Yusuf berkata, PAS telah mengambil langkah segera bagi menangani kehadiran pengundi hantu pada hari mengundi.

Katanya, PAS mengambil tindakan membekalkan seluruh petugas parti dengan alat pengimbas kad pengenalan sebagai salah satu langkah untuk menghalang kehadiran pengundi hantu.

"Alat ini akan dibekalkan kepada semua agen mengundi PAS di bilik-bilik mengundi, jika pengundi datang dengan IC palsu kita akan terus membuat laporan polis dan serta merta akan membuat tangkapan," katanya.

Tiada ulasan:

Nuffnang