Bersih 3.0 284

Bersih 3.0 284
#DataranMerdeka

Ahad, 9 Mac 2008

Terima kasih Malaysia, BA menang lima negeri!

"Terima kasih kepada seluruh rakyat Malysia.Saya begitu terharu dan tersentuh dengan pilihan yang dibuat mereka dan penghargaan wajar diberikan kepada rakyat Malaysia dan rakan-rakan yang mahukan perubahan dan era baru dalam negara."

Demikianlah kata mukadimah penuh semangat Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mengadakan sidang media khas keputusan kejayaan Barisan Alternatif (BA) jam 1.10 pagi tadi di kediamannya tadi.

"BA telah berjaya menubuhkan kerajaan di lima buah negeri iaitu Kelantan,Kedah, Pulau Pinang,Perak dan Selangor," kata Anwar di hadapan lebih 50 wartawan dan jurugambar luar dan dalam negeri.

"Kita telah berjaya menafikan dua pertiga majoriti di Parlimen," katanya.

Kata Anwar setakat keputusan diperolehi, KeADILan telah memenangi lebih 30 kerusi Parlimen, PAS sejumlah 27 manakala DAP juga mendapat 27 kerusi namun keputusan muktamad dan rasmi masih ditunggu oleh pihaknya.

Turut hadir sama dalam sidang media itu ialah Timbalan Presiden KeADILan Dr Syed Husin Ali dan Ketua Penerangan KeADILan Tian Chua yang telah memenangi kerusi Parlimen Batu, Wilayah Persekutuan.

Anwar menjelaskan kejayaan itu adalah kerana rakyat telah memberikan mesej yang jelas mahukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, telus dan mewakili suara pandangan semua kaum.

Katanya keputusan pada malam ini merupakan satu sejarah yang belum pernah berlaku dalam landskap politik negara dan berjanji BA akan melaksanakan mandat yang diberikan rakyat dengan sebaiknya.

"Esok insya-Allah, kita akan membina Malaysia baru secara bersama-sama dan masa depan Malaysia mula tercipta," katanya.

Ketika ditanya bagaimana perasaan beliau menghadapi kejayaan BA besar dan mengejutkan itu, Anwar berkata beliau benar-benar tersentuh dengan pilihan rakyat Malaysia itu.

"Saya bersyukur kepada Allah SWT. Dan merasa begitu bahagia kerana dikongsi bersama dengan semua kaum yang dianggap sebagai satu keluarga.

"Sesungguhnya, politik negara sudah tidak akan sama lagi sampai bila-bila,"kata Anwar.

Sementara itu, beliau meminta semua pihak khususnya para penyokong BA supaya bersikap bertenang dan tidak melakukan sebarang sambutan atas kejayaan BA dan ini turut dipersetujui oleh PAS dan DAP.

"Tiada sambutan dilakukan. Kerja akan diteruskan esok seperti biasa untuk membina Malaysia baru," katanya. -

Tiada ulasan:

Nuffnang