Bersih 3.0 284

Bersih 3.0 284
#DataranMerdeka

Khamis, 18 September 2008

Polis: Jangan buat spekulasi ambil alih kuasa

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini memberi amaran keras kepada mereka yang membuat spekulasi dan menyebarkan khabar angin mengenai peralihan kuasa dalam kerajaan.

Beliau berkata, spekulasi tersebut telah mengakibatkan ketidakstabilan dalam negara.

Ismail memberi amaran tersebut ketika bercakap kepada wartawan dalam satu sidang akhbar di Bukit Aman petang ini.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi dan khabar angin yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman negara.

Ismail berkata penyebaran yang tidak bertanggungjawab itu boleh mengakibatkan masyarakat dalam keadaan resah dan bimbang, demikian menurut laporan Bernama.

"Penyebaran ini telah disiarkan media-media tertentu termasuk laman web, blog serta penghantaran melalui SMS dan lain-lain.

"Menghebahkan berlakunya peralihan kuasa pemerintahan negara dan berlakunya keadaan huru-hara di tempat-tempat tertentu.

Ini boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan negara," katanya.

Ismail menyeru semua pihak agar bekerjasama dengan polis untuk memelihara keamanan dan keharmonian negara serta mengelak daripada berlakunya suasana tegang melalui penyebaran spekulasi dan khabar angin itu.

Beliau memberi jaminan bahawa situasi di dalam negara adalah terkawal dan orang ramai boleh meneruskan aktiviti harian seperti biasa tanpa sebarang kebimbangan.

"Pada masa ini tahap keselamatan negara adalah dalam keadaan yang stabil. Kita akan pantau situasi sebegini supaya tidak berlaku perbuatan yang boleh melanggar undang-undang negara," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai jika mendapat sebarang khabar angin berhubung perkara-perkara yang boleh mengganggu ketenteraman negara supaya segera menghubungi polis.

Ismail berkata, khabar angin tersebut memberi gambaran kepada orang luar imej bahawa negara ini tidak aman.

Lagi tangkapan ISA?

Ditanya sama ada beliau merujuk kepada mana-mana orang politik dan khususnya kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ismal menjawab "Tidak".

Apa yang penting, tambahnya, ialah perbuatan menyebar khabar angin adalah tidak bertanggungjawab dan dihentikan.

Ditanya mengenai kemungkinan ISA digunakan terhadap mereka yang menyebarkan 'khabar angin' mengenai peralihan kuasa, Ismail enggan menjawabnya.

Bagaimanapun, beliau menggesa orang ramai supaya bekerjasama bagi menjaminkan negara sentiasa selamat dan jangan mempercayai spekulasi dan khabar angin yang disebarkan.

Tiada ulasan:

Nuffnang