Bersih 3.0 284

Bersih 3.0 284
#DataranMerdeka

Jumaat, 5 Februari 2010

Liwat II: Saiful pergi tiga hospital buat pemeriksaan

Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia telah pergi ke tiga buah hospital, termasuk dua hospital swasta, untuk membuat pemeriksaan.

Bekas pembantu Anwar itu berkata dia pada mulanya pergi ke Hospital Tawakal, Jalan Pahang, di Kuala Lumpur untuk membuat pemeriksaan doktor, tetapi penyambut tetamu telah memberitahunya hospital itu beroperasi separuh hari dan tidak boleh membuat pemeriksaan.

Beliau kemudiannya pergi ke Hospital Pusrawi di Jalan Tun Razak, dan ketika itu beliau ditemani oleh bapa saudaranya bernama Tuah Mohd Ali, iaitu adik kepada arwah ibunya.

Mohd Saiful berkata di hospital itu, beliau telah berjumpa Dr Mohd Osman Abdul Hamid dan memberitahunya beliau sakit perut dan sakit di dubur.

"Dr Mohd Osman telah meminta saya untuk membuka seluar dan beliau telah memasukkan sesuatu pada dubur saya dan pada masa itu saya telah berterus terang kepadanya bahawa saya telah diliwat dan mahu membuat pemeriksaan," jelas Mohd Saiful.

Mohd Saiful berkata Dr Mohd Osman terus memberhentikan pemeriksaan dan memintanya memakai seluar.

Ditanya Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden adakah beliau ada menanyakan mengapa pemeriksaan diberhentikan, Mohd Saiful berkata doktor berkenaan ada menjelaskan bahawa hospital itu tidak mempunyai kelengkapan membuat pemeriksaan forensik dan laporan perubatan hospital swasta tidak boleh digunakan di mahkamah nanti.

"Beliau seterusnya telah meminta saya mendapat rawatan di HKL (Hospital Kuala Lumpur). Saya ikut nasihatnya dan terus ke HKL. Pada mulanya saya tak tahu hendak ke mana, tapi secara logiknya saya pergi ke wad pesakit luar untuk mendaftar pukul 3 petang," katanya.

Mohd Saiful, 24, ialah saksi pertama yang memberi keterangan apabila kes itu bermula semalam di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pada awal sesi pagi ini, Mohd Saiful memberi keterangan secara tertutup selama 30 minit sebelum hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan serta Anwar, Mohd Saiful dan Zambri Idrus, peguam pemerhati bagi pihak Mohd Saiful, meninggalkan mahkamah pada 11.43 pagi untuk melawat kondominium, tempat kesalahan itu didakwa dilakukan.

Apabila perbicaraan disambung secara terbuka pada petang ini, Mohd Saiful menyambung keterangannya di mana beliau menyatakan pergi ke tiga hospital itu untuk mendapat rawatan.- Bernama

Tiada ulasan:

Nuffnang