Bersih 3.0 284

Bersih 3.0 284
#DataranMerdeka

Isnin, 8 Februari 2010

Najib dan gelagat peminat Facebook

Datuk Seri Najib Razak berbangga dengan akaun Facebooknya - ia menjadi antara berita penting yang dimuatkan di dada-dada akhbar.

Bercakap kepada sebuah stesen TV India, perdana menteri berkata beliau menganggotai laman sosial itu untuk mendekati rakyat dan merapatkan jurang politik antara generasi tua dan muda.

“Kita perlu berubah mengikut masa kerana (mereka) adalah generasi yang celik IT,” beliau dipetik sebagai berkata.

Sejak mula mendaftar di laman berkenaan pada pertengahan November lalu, Najib berjaya menarik sehingga 30,000 peminat dan setakat kolum ini ditulis, jumlah pengikutnya di laman itu kini hampir mencecah angka 80,300.

Jumlah ini berjaya menandingi pesaing politiknya seperti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (60,159 orang peminat), Datuk Seri Anwar Ibrahim (39,086 orang peminat), Lim Kit Siang (16,694 peminat) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (9,159 orang peminat).

Namun Najib masih ketinggalan di belakang mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang setakat ini mempunyai seramai orang 201,564 peminat di laman berkenaan.

Pada awal penglibatannya di arena laman sosial ini, Najib menulis beliau akan menggunakan Facebook untuk menyalurkan pandangannya selain mengumumkan aktiviti-aktiviti beliau.

Katanya, beliau juga akan berkongsi pautan, foto daripada Flickr, video daripada Youtube dan juga maklumat lain seperti makanan kegemaran dan juga aktiviti masa lapangnya di laman itu.

Respons warga Internet ke atas Facebook Najib secara umumnya tampak positif. Masakan tidak, jika peminat sendiri yang menghantar maklum balas?

Contohnya pada 18 Jan, Najib di laman tersebut mengumumkan rancangannya untuk mengadakan hari terbuka Pelan Transformasi Kerajaan (GTP).

Seramai 81 orang 'menyukai' posting tersebut, selain menerima sebanyak 105 komen. Komen terakhir bagi posting tersebut diterima daripada Siti Alfinah Riduan yang berkata: “hope sgt akan ada d sabah gak.”

Selain Siti Alfinah, seorang lagi peminat Najib, Afykah Abdullah juga meninggalkan komen pada jam 11 pagi, 21 Jan: “Salam. Dear Dato' Seri, betul ke ada desas-desus mengatakan yang COLA kakitangan awam akan ditarik semula tahun ini?”

Pada Jan 25 pula, Najib berkata beliau akan ditemuramah dalam satu program khas TV3.

Salah seorang peminatnya Abdul Radzi Ismail menyahut dan berkata: “Syabas dan tahniah. Program yang cukup menarik. Saya tertarik dengan kata-kata Datuk Seri bahawa untuk menjadi pemimpin yang baik kita mesti sentiasa mendekati rakyat.”

Namun selain daripada pujian melangit, ada juga yang mengkritik beliau, seperti yang disuarakan Halimaton Saadiah Manaf: “Kasihan saya lihat Datuk ni. 99% dalam Facebook ini menyokong dengan nada mengampu."

“Cara dia orang buat Datuk pasti terlena dan ujub dengan kemampuan sendiri, padahal kami yang miskin ini tersepit kerana apa yang sebenarnya tak dapat Datuk rasa dan tengok dengan pasti,” kata Halimaton Saadiah lagi pada Ahad 31 Jan.

Di antara komentar pro dan kontra ini, ada juga pandangan yang tidak dapat dipastikan duduk perkaranya, seperti yang diutarakan seorang peminat bernama Faiza Alih bagi satu coretan Najib (kanan).

Dia ingin berkongsi bersama peminat program realiti TV popular Akademi Fantasia berhubung dakwaan, kononnya, Sultan Mizan Zainal Abidin selalu disindir oleh ahli-ahli politik di akhbar.

Sementara itu, selain Najib, Mohamad Tasyrif Tajudin - seorang pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan juga mempunyai akaun di laman sosial itu - dan beliau turut muncul menjadi antara berita penting di akhbar.

Mohamad Tasyrif didakwa pada 18 Jan lalu bawah Seksyen 223(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia, kerana menggunakan rangkaian tersebut bagi “mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keselamatan orang lain.”

Beliau didakwa menulis “kenapa? nak aku baling bom petrol pulak kat sana? ... harga boleh runding” ketika mengulas mengenai serangan terhadap gereja-gereja, rentetan daripada isu penggunaan kalimah Allah.

Sekiranya pandangan sebegini ingin diambil kira, maka Najib perlu berhadapan dengan satu realiti baru. Beliau tidak sekadar perlu meraih populariti di kalangan orang muda tetapi juga perlu menanggap pendirian dan tahap kematangan warga maya ini terhadap sesuatu isu.

Ada pandangan yang menyebut, komen daripada Mohamad Tasyrif itu tidak lebih daripada satu bentuk humor gelap yang sepatutnya dapat diterima oleh masyarakat.

Menurut seorang penyair muda Rahmat Haron dalam satu coretan Facebooknya (Jan 16):

"dia bukan kaki bakar/bukan bodoh/dia pandai buat lawak gelap. kesian ramai yg dah tak faham kata perli/sindir atau sebenarnya siapa makan cili dia rasa pedas. ha ha ha ha ..."

Persoalannya, mampukah Najib membawa rakyat digital Facebooknya ke ruang 'toleransi' seperti itu?

Tiada ulasan:

Nuffnang