Bersih 3.0 284

Bersih 3.0 284
#DataranMerdeka

Khamis, 7 Julai 2011

Pemuda Umno batal perhimpunan PATRIOT



Pemuda Umno tidak akan meneruskan rancangan untuk mengadakan perhimpunannya pada 9 Julai ini tetapi memberi amaran kepada BERSIH supaya tidak meneruskan perhimpunan pada hari berkenaan.
"Jika tidak, PATRIOT tidak akan teragak-agak untuk turut hadir ke perhimpunan berkenaan bagi mempertahankan masyarakat daripada dikhianati (pengerusi BERSIH, Datuk) Ambiga (Sreenevasan)," kata pengerusi perhimpunan PATRIOT, Datuk Reezal Merican Naina Merica.

"Kita akan berdiri di hadapan kalau ada orang nak ganggu," katanya lagi dalam satu sidang media di ibu pejabat pergerakan Pemuda Umno di ibu negara petang ini.

Namun, buat masa ini perhimpunan PATRIOT turut dijadualkan diadakan pada 9 Julai.

Keputusan itu dibuat ekoran titah Yang di-Pertuan Agong semalam berhubung perhimpunan berkenaan, katanya.
"Kita faham hasrat Tuanku tidak mahu berlaku huru-hara... Walaupun Tuanku tak kata stand down, kita faham (bermaksud begitu)," katanya lagi ketika ditanya.

Jelasnya, beliau berpendapat demikian memandangkan Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan titah khas berhubung isu berkenaan.

Malas layan gelar bacul
Turut bercakap dalam sidang media itu ialah ketua pengarah PATRIOT, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Pemuda Umno dan Kelab Putra 1Malaysia hari ini memutuskan untuk membatalkan Himpunan PATRIOT, iaitu perhimpunan untuk membantah perhimpunan 9 Julai anjuran pihak yang berkepentingan, bagi menghormati titah Yang di-Pertuan Agong.

Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berkata keputusan itu dicapai sebulat suara berdasarkan sokongan dan maklum balas anggota pergerakan demi menjaga keselamatan serta keharmonian negara.


"Saya memandang serius nasihat titah yang disebut Tuanku semalam dan bersedia untuk berbincang dengan rakan-rakan PATRIOT agar tidak meneruskan hasrat atas junjung kasih dan nasihat Tuanku demi memelihara kedaulatan undang-undang dan perlembangan yang menjadi benteng utama," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Istana Negara mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong mengenai perhimpunan haram anjuran pihak berkepentingan itu pada 9 Julai ini.

Ketika ditanya pemberita sama ada keputusan itu akan menyebabkan PATRIOT digelar oleh parti pembangkang sebagai pengecut, Razali berkata:

"Ini semua mainan politik. Sebelum ini, mereka (pembangkang) gelarkan kita bacul, pengecut dan macam-macam lagi, jadi perkara ini saya malas nak layan dan saya tidak akan berkompromi sebab ini soal negara. Kalau berani, kita guna cara yang betul.

"Bagi kami (Pemuda Umno) tidak akan menggadaikan kedaulatan negara dan perlembagaan negara, malah memorandum yang akan dihantar kepada Tuanku juga tidak akan diteruskan," katanya.

Penjaja risau
Bagaimanapun, Razali berkata PATRIOT akan didaftarkan sebagai badan yang berdaftar untuk mewakili golongan belia sebagai pelapis negara dalam menghadapi ancaman luar.

Razali, yang juga timbalan menteri belia dan sukan berkata golongan peniaga dan penjaja di sekitar ibu kota akan mengalami kerugian transaksi perniagaan hampir RM200 juta pada hari berkenaan berdasarkan sejarah perhimpunan haram pada 2007.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Persatuan Penjaja dan Pekedai Bumiputera, Wilayah Persekutuan di Parlimen.

Dalam sidang media yang sama, Yang Dipertua persatuan itu, Mithlan Samijoo berkata peniaga di sekitar Jalan Masjid India akan mengalami kerugian yang teruk memandangkan sambutan menggalakkan pada hujung minggu dan persiapan menyambut bulan Ramadan pada bulan depan.

"Kami sudah menyediakan stok untuk sambutan Ramadan dan Aidilfitri misalnya barangan pakaian hanya boleh kami simpan tiga bulan sahaja. Sekiranya tidak dijual, kami terpaksa beli rekaan yang baru untuk dijual," katanya.

Mithlan berharap pihak yang terbabit tidak meneruskan rancangan untuk mengadakan perhimpunan itu yang hanya memberi kesan buruk kepada perniagaan mereka.

Tiada ulasan:

Nuffnang